Sunday, March 28, 2010

uluhiyyah dan rububiyyah

TAUHID DAN JENIS-JENISNYA

Tauhid berasal dari kalimah ”wahhada” kemudian ”yuwahhidu seterusnya ”tauhid” yang bermaksud mengEsakan. MengEsakan Allah mempunyai banyak sudut yang dapat ditinjau iaitu dari sudut perbuatan Allah, sifat-sifat dan nama-nama Allah atau dari sudut perbuatan manusia. Disebabkan sudut tersebut maka tauhid telah dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

1) Tauhid Rububiyyah (توحيد الربوبية )

2) Tauhid Uluhiyyah (توحيد الألهية / توحيد العبادة )

3) Tauhid Asmaa Wa Assifaat ( توحيد الأسماء والصفات )

Berdasarkan penelitian yang dilakukan secara menyeluruh terhadap dalil-dalil yang tedapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, sebagaimana ulama nahu telah membahagikan kalimat di dalam bahasa arab menjadi tiga iaitu, isim, fi’il, dan huruf, berdasarkan penelitian menyeluruh terhadap kalimah-kalimah yang ada di dalam bahasa arab. [1]

2.1 TAUHID RUBUBIYYAH

Perkataan Rububiyyah berasal dari perkataan Rabb (رب ) yang memberi maksud mencipta, yang memiliki, yang memelihara dan yang mengurus sekalian alam. Dari segi bahasa, Rububiyyah berasal dari kata “Rabbun” yang bermaksud “Al-Maalik dan Al-Mudabbir” iaitu penguasa, pemilik dan pengatur. Dia juga Maha penguasa dan Maha Pengatur seluruh mekanisme ynag bergerak dan segala hajat makhlukNya, yang mana Allah adalah pelaku mutlak dalam setiap kejadian.[2] Tauhid rububiyyah memberi erti keyakinan seseorang bahawa Allah sahaja yang mencipta seluruh alam ini, Allah yang menurunkan rezeki dan hujan, Allah yang memelihara dan mengatur seluruh alam, Allah yang menghidupkan dan mematikan, tauhid rububiyyah adalah tauhid yang membahaskan tentang perbuatan Allah.[3] Rububiyyah juga memberi makna menunggalkan Allah dalam sifat ketuhanan Rububiyyah iaitu sifat yang hanya ada padaNya sahaja.[4] Dalam konteks tauhid rububiyyah, tidak ada perbezaan di antara orang musyrik iaitu orang yang menyekutukan Allah dengan makhluk yang lain dengan seorang muslim. Mengikut fahaman Ibnu Taimiyyah dan kuncu-kuncunya orang musyrik termasuk dalam golongan ahli tauhid yang dikategorikan dalam ahli tauhid rububiyyah dan tidak pada tauhid uluhiyyah. Syirik dan tauhid kerana ia merupakan dua perkara yang bertentangan yang tidak mungkin dapat disatukan.[5]

Seseorang yang mempunyai keyakinan dengan perbuatan Allah itu bermakna ia telah memiliki tauhid rububiyyah dalam dirinya. Walaupun begitu keyakinan yang di miliki belum tentu menjamin memasukkan seseorang Islam ke dalam Islam kerana tauhid jenis ini iaitu rububiyyah merupakan jenis tauhid yang dimiliki oleh semua umat yang beragama Yahudi, Nasrani, Majusi, Hindu bahkan penyembah berhala pada zaman jahiliah yang lampau. Hanya golongan yang anti tuhan sahaja tidak mempunyai tauhid jenis ini seperti golongan Komunis. Al-Quran menerangkan tentang hakikat ini dengan menggambarkan keadaan orang-orang musyrikin yang menyembah berhala :[6]

”9. dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".[7]

Sifat-sifat Rububiyyatullah yang hanya menjadi hak Allah Tuhan alam semesta sahaja, antaranya ialah:

1) al-Khalq atau Penciptaan

2) al-Razq atau Pencipta dan Pemberi Rezeki

3) al-Mulk atau Pemilik kuasa dan urusan yang memastikan sifat-sifat

4) al-Mattah atau Pencipta mati

5) al-Ihya atau Pencipta hidup

6) al-Naf atau Pemberi manfaat

7) al-Darr atau Penolak mudarat

8) al-I’zaz atau Pemberi kemulian

9) al-Idlal atau Pemberi Kerendahan

Tauhid Rububiyyah merupakan tauhid yang paling hampir kepada naluri semulajadi. Orang kafir Quraisy Makkah mengetahui dan mengakui sifat-sifat rububiyyah ini. Tetapi pengetahuan dan pengakuan disekutukan dengan sesuatu yang selain Allah. Oleh itu mereka mentauhidkan Allah dalam konsep yang sebenar.[8]

2.2 TAUHID ULUHIYYAH

Perkataan Uluhiyyah diambil daripada perkataan Al-Ilah (الاله ) maksudnya ialah yang disembah ( المعبود ). Oleh kerana itu tauhid Uluhiyyah dinamakan juga dengan tauhid ibadah. Dari segi istillah, agama tauhid Uluhiyyah bermakna keyakinan kita bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan dia tidak boleh disekutukan dengan apa pun juga. Tauhid ini juga yang membezakan antara orang muslim dengan orang musyrik. Walaupun orang Yahudi menyakini bahawa Allah yang mencipta, menghidup dan mematikan makhluk namun mereka tidak bergelar muslim kerana penyekutuan yang mereka lakukan. [9]

Ibnu Taimiyah menyatakan bahawa Tauhid inilah yang membezakan orang yang bertauhid murni dengan orang musyrik. Barangsiapa yang tidak memenuhi kriteria tauhid Uluhiyyah maka ia masih terikat ke dalam kemusyrikan.[10]

Tauhid Uluhiyyah merupakan natijah yang tabi’i dan semestinya dari tauhid Rububiyyah. Pengakuan hanya dengan Tauhid Rububiyyah tidak diakui oleh Islam, kerana tauhid ini juga yang diakui oleh iblis dan golongan kafir. Apabila adanya pengakuan dengan tauhid Uluhiyyah maka semestinya mengandungi pengakuan pada tauhid Rububiyyah, dan kedua-dua tauhid ini diakui selagi mana ia mengakui dengan sebenarnya tauhid Zat, Asma’, Sifat.

2.3 TAUHID ZAT, ASMA’, SIFAT DAN AF’AL

Tauhid Zat, Asma’, Sifat dan Af’al ialah menunggalkan Allah pada semua perkara dan tidak menyerupai sesuatupun. Ketunggalan Allah atau Ahadiyatullah, ketunggalan Allah memastikan samadiyatullah iaitu Dialah sahaja yang menjadi tumpuan segala hajat dan pengharapan. Ketunggalan Allah memastikan penafian.

Mentauhidkan Zatullah ialah beriktikad bahawa Allah ialah Zat Yang Maha Esa lagi Maha Tunggal. Mentauhidkan Asma’ullah ialah mengiktikad bahawa Allah telah menamakan Diri ZatNya sendiri dengan nama-nama yang disukai dan diredai. Mentauhidkan Af’alullah ialah mengiktikadkan bahawa Allah telah mensifatkan DIRINYA dengan sifat-sifat Maha Tinggi, Maha Sempurna, lagi Mha Suci, tiada kekurangan, kelemahan dan tidak menyerupai sesuatupun sifat makhluk.[11] Dengan kata lain semua nama dan sifat Allah adalah tauqifyyah iaitu terhenti hanya dari dua sumber tersebut sahaja sama ada ithbat (menetapkan) ataupun nafi (menidakkan). Kita tidak boleh mengithbatkan atau menafikan nama dan sifat Allah kecuali apa yang dinafikan atau diithbatkan oleh al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.[12]

3.0 KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN

Semasa zaman Ibnu Taimiyyah dunia Islam berada dalam keadaan hancur, samaada dari segi politik, sosial mahupun agama. Pusat kekuasaan politik Islam, Baghdad hancur oleh tangan penakluk Mongol, hulagu. Kerajaan Islam yang ada pada umumnya lemah kerana pertentangan-pertentangan di dalam.

Kehidupan keagamaan turut mengalami kerosakan. Kepercayaan khurafat dan takhlid sudah melanda dunia Islam. Pemujaan kuburan wali dan penghormatan yang berlebih-lebihan terhadap orang yang mereka anggap suci telah merosakkan sebahagian akidah orang Islam. Kehidupan intelektual kaum muslim diwarnai oleh pertentangan-pertentangan yang tidak berguna dalam masalah-masalah fiqih, iman dan ketuhanan disertai dominasi pengaruh Helenistik.

Dalam keadaan kerajaan Islam lemah, lahir seorang tokoh pembela As-Sunnah iaitu Ibnu Taimiyyah. Ibnu Taimiyyah menyakini bahawa semua keruntuhan yang itu disebabkan umat Islam telah menjauhi Al-Quran, As-Sunnah dan Salaf sahih. Dengan senjata naql dan akal yang tajam, ia membuka serangan ke segala arah yang dianggap menyeleweng. Filosof sufi, fuqaha, mutakallimun bahkan Al-Ghazali tidak terlepas dari serangannya dan hanya ahli hadis yang tidak kena serangannya. Kadang-kadang ia membenarkan filosof dan menyalahkan mutakallimin, serta menganggap mereka melakukan bid’ah kerana menolak falsafah yang benar.[13]

Imam Ahmad Ibn Hanbal, merupakan tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid yang dikatakan bid’ah yang direka oleh Ibn Taimiyyah kerana beliau mendakwa dirinya bermazhab Hanbali. Begitu juga puak yang pengembangnya iaitu wahhabi. Imam Ahmad Ibn Hanbal tidak pernah menyatakan bahawa tauhid mempunyai pembahagian.

Kaum Musyrikin mengakui bahawa hanya Allah sahaja pencipta bagi segala sesuatu, pemberi rezeki, pemilik langit dan bumi dan juga pengatur alam semesta. Walaupun begitu, mereka menetapkan berhala-berhala yang mereka sembah diangggap sebagai penolong yang mereka bertawassul dengan berhala-berhala tersebut dan menjadikan mereka pemberi syafaat. Kerana perbuatan tersebut, maka mereka tetap dalam keadaan musyrik sebagaimana Allah berfirman:

106. dan (orang-orang Yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukanNya juga Dengan Yang lain.[14]

Sebahagian ulama Salaf berkata bahawa :” Jika kalian tanyakan pada mereka siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-gunung? Mereka pasti menjawab ’Allah’. Walaupun demikian mereka tetap menyembah selain Allah.[15]

Perkataan tawassul mempunyai tiga makna, yang mana ulama bersepakat tentang dua makna antaranya. Pertama, yang merupakan dasar iman dan Islam, iaitu melalui iman kepada Rasulullah dan ketaatan padanya. Kedua, makna ini disepakati oleh kaum muslim iaitu barangsiapa menolak tawassul maka ia kafir murtad. Barangsiapa yang menolak doa, syafaat dan manfaatnya bagi kaum Muslimin, maka ia kafir. Orang-orang Musyrik menyukutukan tuhan-tuhan lain selain Allah menyatakan bahawa tuhan-tuhan mereka itu diciptakan tapi, mereka jadikannya sebagai tempat meminta syafaat dan menyembahnya untuk mendekatkan diri kepada Allah.[16]

Menurut ajaran agama Islam dan Ijma’ para ulama Salaf perbuatan menyeru orang mati adalah tidak dianjurkan. Rasulullah dan para sahabat tidak pernah mengajar supaya mendoa atau menyeru malaikat, para Nabi dan orang-orang shalih serta memohon syafaat kepada mereka setelah mereka meninggal. Perbuatan seperti ini termasuk bid’ah yang diada-adakan. Terdapat jua Bid’ah yang tidak diwajibkan atau dianjurkan adalah Bid’ah yang buruk, dan suatu kesesatan(dhalalah). Sekiranya terdapat Bid’ah yang dikatakan sebahagian Bid’ah itu baik (hasanah), itu bermaksud Bid’ah tersebut mempunyai dalil syar’i bahawa ia dianjurkan.[17]

Tauhid Rububiyyah diakui oleh semua orang, tidak ada ummat manapun yang menyangkalnya, bahkan hati manusia sudah difitrahkan untuk mengakuinya melebihi fitrah pengakuan terhadap yang lain-Nya. Orang yang paling dikenali dengan pengingkarannya adalah Firaun. Namun hatinya tetap menyakini terhadap keberadaan Allah. Allah juga menceritakan tentang Firaun dan kaumnya (dalam surah An-Naml: 14).

Tauhid ini tidak memberi manfaat bagi orang yang mengimaninya kecuali sekiranya dia diberi petunjuk untuk beriman kepada dua Tauhid yang lain iaitu Tauhid Uluhiyyah dan Asma’ dan Sifat. Imam Ibnul Qayyim berkata: ” Seandainya keimanan kepada Tauhid Rububiyyah ini sahaja dapat menyelamatkan, tentunya orang-orang Musyrik diselamatkan. Akan tetapi, urusan yang amat penting dan menjadi penentu adalah keimanan Tauhid Uluhiyyah yang membezakan orang-orang Musyrik dan orang-orang yang mentauhidkan Allah”.[18]

4.0 PERKEMBANGANNYA PADA MASA KINI

Pihak Panel Penyelidikan Yayasan Sofa ( atau singkatannya PPYS), Negeri Sembilan. Membahaskan tentang tiga Tauhid ini. Setelah mengikuti tulisan-tulisan berkenaan, penulis Ustaz Ahmad Kamil Halim meminta agar PPYS membuat kajian lanjut tentang:

4.1 Benarkah Ibn Taimiyyah pencipta kaedah tauhid tiga serangkai?

Dakwaan pihak PPYS bahawa Ibn Taimiyyah ( w. 728H) adalah pereka kepada bid’ah tauhid tiga serangkai tidak benar. Pihak PPYS disyorkan meluaskan lagi penyelidikan terhadap banyak lagi kitab-kitab turath lain yang mudah diperolehi di zaman IT ini.[19]

4.2 Antara tokoh terdahulu yang telah memperkatakannya ialah :


1 ) Al-Imam Abi Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Battah Al-Akbariy , meninggal tahun 387 H di dalam kitab Al-Ibanah ‘An Syariah Al Firqah An Najiah Wa Mujanabah Al Firaq Al Mazmumah . Dalam teks kata-kata belaiu , antara lain ..


“ …. Bahawa Asal Iman kepada Allah yang wajib atas sekelian makhluk beri’tikad dengannya dalam mengisbatkan iman adalah tiga perkara :


Pertama : Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan sifat ketuhanannya ( Rububiyyah) agar jadilah perkara itu satu perbezaan dari mazhab ahl at ta’til yang tidak mengisbatkan adanya pencipta.

Kedua : Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan keesaanNya ( Uluhiyyah) agar jadilah ia satu perbezaan dari golongan ahli syirik yang mengakui kewujudan pencipta ( Allah ) tetapi melakukan syirik dalam amalan ibadah mereka.

Ketiga : Bahawa seorang hamba beri’tiqad bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang tidak haruslah Dia melainkan bersifat dengan sifat seperi ilmu, qudrat, hikmah dan semua sifat yang Dia sifatkan didalam kitabNya.”


Seterusnya beliau menyebut sebagai sambungan : “ Kerana kita dapati Allah Taala telah memerintahkan hambaNya kepada I’tiqad dengan setiap satu dari tiga perkara ini dan beriman dengannya.” Tiga perkara yang dimaksudkan oleh Ibn Battah di sini ialah

tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wa Sifat.[20]

2 ) Al Imam Al Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah , meninggal tahun 395 H . Di dalam kitab beliau “ Kitab At Tauhid Wa Makrifatu Asma Allah Azzawajalla Wasifati ‘Alal ittifaq Wal iftiraq “ . Di dalam kitab beliau menjelaskan beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid rabubiyyah, beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid uluhiyyah dan beberapa tajuk lain berkaitan tauhid asma’ wa sifat. Apa yang lebih menarik, di dalam muqaddimah kitab ini Ibn Mandah menyebut bahwa Al-Imam Abu Yusof ( w. 182H) yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Abu Hanifah ( w. 150) turut memperkatakan pembahagian tauhid ini semasa kurun kedua lagi .


Sangat menarik sekali bahawa Al-Imam As Syafie secara lisan yang tersirat mengakui kewujudan tauhid uluhiyyah melalui kata-kata beliau “inilah hakikat tauhid “ dalam satu riwayat dari Imam Al Muzani yang dikemukakan oleh Al-Imam Az Zahabi didalam (Siyar I’lam An Nubala’ jilid 10 m.s. 26, terbitan Muassasah Ar Risalah Beirut, Lubnan).

Tindakan pihak PPYS membesar-besarkan nama Ibn Taimiyyah Rahimahullah sebagai pereka kepada tauhid tiga serangkai sekadar meneruskan agenda pihak yang sudah lama memusuhi Ibn Taimiyyah adalah tidak adil sekiranya kita menilai sesuatu permasalahan berdasarkan pandangan pihak yang kita cenderung kepadanya, tanpa melihat hujah-hujjah pihak lain yang kita tidak bersetuju dengannya. Di dalam dunia Islam masa kini, golongan generasi muda yang prihatin dengan perkembangan ilmu Islam, mengambil sikap menilai secara adil dan saksama segala kemelut yang berlaku. Tokoh seperti Muhammad Zahid Al Kauthari dari Negara Turki bermazhab Hanafi dan Hasan Ali As Saqaf dari Jordan antara tokoh yang kuat mengkritik Ibn Taimiyyah dan menentang keras pembahagian tauhid tiga serangkai. Apa yang memusykilkan penulis ialah kenapa kaedah mengenali Allah melalui sifat 20 tidak pula diperbesarkan oleh pihak PPYS?. Pada hal Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar para sahabat dan kita semua, bahawa Allah hanya memiliki 20 sifat sahaja. Perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian oleh pihak PPYS ialah ancaman ilmu kalam terhadap kemurniaan sistem pembelajaran ilmu tauhid. Sejarah membuktikan bahawa Al Imam As Syafie tokoh yang paling kuat menentang ilmu kalam dan penggunaannya dalam subjek akidah.[21]

Sifat Allah Berdiri dengan Diri Sendiri adalah wajib ada kerana ia adalah bukti bagi mengetahui akan Tauhid Rububiyyah. Ianya juga bukti penyaksian kepada makhluk-makhluk dan sifat itu pengisbatan kepada pencipta kerana tidak padaNya yang berbeza dan berbilang-bilang. Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah Tauhid yang wajib sempurna, yang datangnya dari Al-Quran. Terdapat pandangan yang dihuraikan dalam contoh bahawa tentang pergerakan tidak dapat bagi sesuatu itu bergerak tanpa ada yang menggerakkannya, dan tidak sesekali yang menggerakkan itu melainkan dengan dirinya sendiri dan demikianlah Ilahi. Manakala makhluk tidak menjadikan atau menggerakkannya sendiri. Mustahil ada dua yang melakukan atau menggerakkan sesuatu itu dengan dirinya sendiri.[22]

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..Ukhty

    Afwan ana izin copy artikel anty..
    Semoga bermanfaat untuk orang lain juga..

    Jazakillah khaieran jaza'

    ReplyDelete
  3. aSSALAMUALAIKUM, UKHTY

    Mohon copy untuk Digunakan sebagai bahan presentation untuk disharekan bersama rakan2 KOLEJ KOMUNITI KB..(^_^)

    ReplyDelete