Wednesday, March 31, 2010

punca2 pencmran Tasik Kejuruteraan

1.0 PENDAHULUAN
Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai pelbagai fakulti. Yang menarik minat kami untuk mengkaji fokus kajian kami ini ialah tasik yang berhampiran dengan kawasan Fakulti Kejuruteraan atau dikenali sebagai Tasik Kejuruteraan. Selain daripada berfungsi sebagai kawasan tadahan bagi melengahkan aliran ke Sungai Langat ia juga turut digunakan sebagai kawasan rekreasi air. Tasik ini turut digunakan oleh Fakulti Pendidikan bagi kursus asas kayak (canoeing). Oleh itu sewajarnya kualiti air tasik ini dipantau bagi memastikan ianya selamat digunakan, di samping memberi satu panorama yang menambah keindahan kampus. Ini termasuklah mengenalpasti punca- punca pencemaran yang memasuki tasik ini. Air limpahan tasik ini seterusnya mengalir ke Sungai Langat.

1.1 Latar Belakang Permasalahan Kajian
Pencemaran air telah mula kelihatan berlaku di Tasik Kejuruteraan dan kualiti airnya diandaikan tidak baik berdasarkan pandangan estetik. Antara penyebab pencemaran yang disyaki adalah projek pembinaan Kolej Kediaman Pelajar Kausar, atau sekarang dikenali dengan nama Kolej Pendeta Za’aba dan Kompleks Fakulti Teknologi Sains Maklumat (FTSM) yang melibatkan kerja pembersihan tanah serta aktiviti perniagaan di kantin dalam bangunan Fakulti Kejuruteraan serta blok-blok makmal di sepanjang saluran menuju ke tasik.

1.2 Objektif Kajian
i- Mengenal pasti punca-punca pencemaran air di tasik kejuruteraan.
ii- Mengukur tahap kualiti air di tasik kejuruteraan.

1.3 Lokasi Kajian
Tasik Kejuruteraan ini sebenarnya telah diubahsuai dari sebuah kawasan paya ke tasik buatan manusia pada tahun 1989. Airnya mengalir dari bukit yang berhutan di hulu ke dalam tasik dan air tasik kemudiannya mengalir ke Sungai Langat. Kawasan sekelilingnya telah dikembangkan menjadi taman rekreasi dengan lorong jalan kaki, pondok dan menawarkan aktiviti mengayak untuk pelajar dan warga kampus. Anggaran keluasan Tasik Kejuruteraan ini adalah kira-kira 1.8 hektar. Kedalamannya secara purata adalah 1.5 meter. Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) UKM bertanggungjawab ke atas pengurusan tasik ini dan ia juga bertanggungjawab memantau dan menjaga kebersihan tasik. Kini, pencemaran air telah mula kelihatan dan kualiti air disyaki menjadi semakin teruk. Nilai estetik di tasik kelihatan menurun saban hari dan pemandangan di tasik tidak menyenangkan mata.

Punca pencemaran boleh dibahagi kepada pencemar tentu dan pencemar tidak tentu (Krenkel & Novotny. 1980). Di Tasik Kejuruteraan, pencemar tentu yang dikenalpasti termasuklah hakisan permukaan tanah akibat projek pembinaan Kolej Kausar dan longkang Kompleks Fakulti Tenologi dan Sains Maklumat, kantin dan bangunan Fakulti Kejuruteraan. Menurut JPP, semua air buangan samada air dari makmal, tandas atau kantin disalirkan oleh paip pembentungan khas ke tangki kumbahan yang kemudiannya disalirkan ke kolam pengoksidaan kumbahan UKM untuk proses perawatan sebelum ia dialirkan ke Sungai Langat. Air larian hujan dan hakisan kelodak di sekeliling tasik merupakan pencemar tidak tentu.

2.0 ULASAN DARIPADA JURNAL DAN ARTIKEL
Terdapat banyak tasik semulajadi dan buatan dalam negara yang berfungsi sebagai punca utama sumber air untuk pelbagai kegunaan dan habitat kepada kehidupan akuatik. Pembangunan pesat telah menyebabkan banyak kawasan tadahan di hulu tasik menerima kesan signifikan ke atas kapasiti tasik, kualiti air dan aliran masuk. Tasik merupakan satu komponen penting dalam landskap Malaysia. Kebanyakan tasik di Malaysia unik kerana ianya tidak terbentuk menerusi proses semulajadi tetapi menerusi tinggalan aktiviti perlombongan dan pembinaan empangan air sama ada untuk tujuan bekalan air minuman, penjanaan tenaga dan pengairan.

Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan kualiti air tasik tersebut, membandingkannya dengan nilai interim kualiti air kebangsaan dan menganggarkan nilai indeks kualiti air beradarkan parameter. Kesan hari hujan dan hari kering ke atas kualiti air tersebut juga telah dinilai.

Dalam jurnal ini kaedah persampelan dan analisis dilakukan, begitu juga dengan kajian yang kami jalankan ini tentang punca-punca pencemaran di Tasik Kejuruteraan. Kajian dalam jurnal ini juga menjelaskan bahawa Sungai Langat mengalir bersebelahan dengan kawasan UKM Kampus Bangi dan sungai ini juga menerima air luahan dari beberapa saluran dan jasad air tertentu dalam kampus tersebut. Tasik ini telah dipilih sebagai kawasan kajian memandangkan kualiti airnya yang kelihatan tidak berapa menarik dan juga kerana ia menyumbangkan air luahan kepada Sungai Langat. Objektif kajian jurnal ini adalah meneliti sistem saliran ke Tasik Kejuruteraan, Kampus UKM, disamping menentukan kualiti air pada hari hujan dan membandingkannya bagi menentukan status pencemaran. Tasik Kejuruteraan ini sebenarnya telah diubahsuai dari sebuah kawasan paya ke tasik buatan manusia pada tahun 1989. Punca pencemaran boleh dibahagi kepada pencemar tentu dan pencemar tidak tentu. Di Tasik Kejuruteraan, pencemar tentu yang dikenalpasti termasuklah hakisan permukaan tanah akibat projek pembinaan Kolej Kausar dan longkang Kompleks Fakulti Tenologi dan Sains Maklumat, kantin dan bangunan Fakulti Kejuruteraan.

Menurut JPP, semua air buangan samaada air dari makmal, tandas atau kantin disalirkan oleh paip pembentungan khas ke tangki kumbahan yang kemudiannya disalirkan ke kolam pengoksidaan kumbahan UKM untuk proses perawatan sebelum ia dialirkan ke Sungai Langat. Pencemaran air berlaku adalah hasil dari aktiviti manusia sendiri. Antara punca utama pencemaran akibat aktiviti manusia yang menjurus ke arah pencemaran air ialah bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang sewenang-wenangnya malahan secara tidak bermoral ke dalam sungai-sungai.

Air larian hujan dan hakisan kelodak di sekeliling tasik merupakan pencemar tidak tentu. Kajian kualiti air ke atas Tasik Kejuruteraan ini dilakukan di lima lokasi yang telah ditentukan sebagai stesen pensampelan. Sistem saliran air ke Tasik Kejuruteraan telah dikaji dan menunjukkan bahawa parameter kekeruhan melampaui paras maksimum. Beberapa langkah untuk memperbaiki kualiti air dan keadaan saliran tasik serta sistem sumber air di kampus telah juga dicadangkan.

Selain daripada beberapa punca yang disebabkan oleh manusia, alam semulajadi juga boleh menyebabkan pencemaran air. Contohnya, ribut,taufan dan gempa bumi.sekiranya ini berlaku, secara tidak langsung kualiti air pada sungai dan tasik akan terjejas. Penulis menjelaskan lagi bahawa, pemusnahan terhadap alam sekitar yang serius seperti penebangan pokok-pokok di hutan dengan tujuan komersial dan juga untuk pembukaan penempatan baru.

Hujan asid juga boleh menjurus kepada berlakunya pencemaran air. Hujan asid mengandungi sulfur dioksida dan juga nitrogen dioksida ini boleh mengakibatkan eutrokasi dan boleh membunuh akuatik.

Tumpahan minyak serta pengilangan hasil-hasil disalirkan ke dalam sungai-sungai. Disamping itu, banyak bahan buangan radioaktif yang terhasil dari makmal-makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksik larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan laut. Stesen-stesen nuklear juga menyalirkan bahan buangan ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar.

Menurut Beatrix E. Beisner, Lisa Dent dan Stephen R. Carpenter dalam kajian yang telah dilakukan menyatakan bahawa fosforus, karbon organik terlarut dan makanan hidupan tasik seperti ikan dan katak memberi peranan terhadap perubahan pada tasik.
Jika diperhatikan, kebanyakan tasik seperti tiada nilainya sekarang kerana kebanyakan tasik yang ada semakin terbiar dan tertimbus disebabkan banyaknya pembinaan yang sedang dijalankan ataupun terbiar sehingga berlakunya fenomena Eutrofikasi yang serius. (Eutrofikasi ialah status penanda aras tasik yang mengalami penambahan ketara bahan nutrien yang akhirnya menggalakkan pertumbuhan rumpai air sehingga memenuhi dasar dan permukaan tasik). Keadaan ini menyebabkan ekosistem tasik tidak lagi seimbang, pengurangan kandungan oksigen dan kepupusan hidupan air khususnya ikan. Penjagaan oleh orang yang bertanggungjawab terhadap ekosistem dan kualiti air tidak sangat dititikberatkan, tetapi lebih kepada pengindahan landskap persekitaran tasik.

Dinyatakan juga di dalam kajian tersebut bahawa limpahan rumpai air atau aras klorofil adalah kesan daripada lebihan fosforus, karbon organik terlarut dan makanan hidupan tasik . Bagi mendapatkan hasil kajian, pengkaji telah mencipta model tasik yang mempunyai kandungan klorofil bertujuan untuk mengenalpasti perubahan tasik disebabkan faktor iklim samaada ia memberi kesan pengubahan pada keadaan klorofil dalam tasik tersebut ataupun tidak. Kajian mereka mendapati kemasukan fosforus menjadi faktor terpenting bagi aras kandungan klorofil dalam tasik, namun karbon organik terlarut dan makanan hidupan tasik turut menjadi faktor terpenting kepada keseimbangan klorofil pada tasik.

Kesimpulannya, pencemaran air merupakan satu masalah sosial yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.

3.0 METODOLOGI KAJIAN

3.1 Mengumpul Data atau Kaedah Temubual
Untuk mengenal pasti punca-punca pencemaran yang melanda tasik kejuteraan, pengkaji mendapatkan data melalui jurnal, artikel, keratan akbar dan mengadakan sesi temubual dengan seorang timbalan pengarah Jabatan Pengurusan dan Pembangunan (JPP) iaitu yang bertanggungjawab keatas pembinaan tasik kejuteraan. Daripada keseluruhan sumber-sumber yang kami perolehi telah membincangkan tentang punca-punca pencemaran air di tasik buatan, yang mana melalui sumber-sember tersebut dapat membantu pengkaji dalam mencapai objektif kajian iaitu mencari punca-punca pencemaran air di Tasik Kejuteraan.

Temubual bersama responden pula diadakan pada hari Isnin bertarikh 25 Januari 2010, bertempat di pejabat Timbalan Pengarah JPP, alat perakam digunakan bagi merekodkan perbualan. Sebelum memulakan perbualan, pengkaji memperkenalkan diri, kemudian disusuli dengan beberapa soalan yang berkaitan dengan kajian. Antara soalan yang dikemukakan kepada responden seperti; pendapat responden tentang tasik Kejuruteraan sekarang, punca-punca utama pencemaran yang menyebabkan tercemarnya Tasik Kejuruteraan dan orang yang bertanggungjawab ke atas Tasik Kejuruteraan. Sesi temubual berlangsung lebih kurang selama setengah jam, iaitu bermula dari jam 11.00 pagi sehingga 11.45 pagi.

3.2 Analisis Data
Selepas semua jurnal-jurnal dikaji dan mengadakan temubual bersama Timbalan Pengarah JPP iaitu En Ghani. Punca-punca utama pencemaran tasik kejuteraan dapat dikenal pasti, antara punca-punca utama ialah projek pembinaan yang berhampiran, oleh yang demikian, minyak-minyak daripada jentera yang digunakan mengalir terus ke tasik sehingga mengakibatkan gangguan ekosistem di dalam tasik Kejuruteraan UKM. Kenyataan ini boleh dirujuk pada lampiran dalam Rajah 9 dan Rajah 10. Hakisan tanah yang menyebabkan sebahagian tasik tertimbus, rujuk Rajah 13 dan Rajah 14. Mengikut temubual yang telah dijalankan, Timbalan Pengarah JPP menjelaskan bahawa pembinaan tersebut bertujuan untuk penambahbaikan Fakulti Kejuruteraan.

Punca yang lain juga adalah melibatkan air kumbahan daripada blok kejuruteraan, makmal-makmal dan aktiviti perniagaan di kantin kejuteraan yang mana salurannya juga terus ke tasik. Rujuk Rajah 7, tong sampah yang berdekatan dengan longkang boleh menyebabkan longkang tersebut tersumbat, kerana apabila hujan, cebisan sampah dan sisa air daripada tong sampah mengalir bersama air hujan terus ke longkang (Rujuk Rajah 3 dan Rajah 5).

Selain itu, menurut Timbalan Pengarah JPP lagi faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran tersebut ialah kegiatan aktiviti manusia. Oleh kerana sikap pengguna atau pengunjung itu sendiri yang mana berdasarkan kepada pemerhatian jelas menunjukkan bahawa mereka semua telah membuang sampah di merata- rata tempat secara tidak bermoral sehinggakan sampah sarap atau bahan domestik tersebut masuk ke dalam tasik. Keadaan ini amat mendukacitakan kerana sikap mereka ini telah menyebabkan keindahan kawasan di sekitar Tasik Kejuruteraan itu terjejas bahkan,hilangnya daya tarikan. Jika keadaan ini berlaku secara berterusan tanpa ada pengawalan daripada pihak- pihak yang tertentu, ia boleh memberi kesan yang negatif terhadap tasik tersebut, disini kita ambil sebagai contoh kurangnya tarikan pengujung untuk pergi ke tasik tersebut untuk melakukan aktiviti- aktiviti seperti berjoging atau bersenam, berkayak, pelbagai jenis program samaada anjuran kolej- kolej, fakulti- fakulti dan lain- lain. Kenyataan ini disokong berdasarkan sumber dapatan kajian kami melalui gambar pada Rajah 1 dan Rajah 2.

4.0 PERBINCANGAN DAPATAN TEMUBUAL

4.1 Analisis Temubual
Berdasarkan temubual bersama Timbalan Pengarah JPP, kami dapati bahawa Timbalan Pengarah tersebut sebenarnya juga tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan apa yang telah terjadi dengan tasik itu sekarang. Beliau telah menyatakan ketidakpuasan hati berkenaan dengan Tasik Kejuruteraan kerana pencemaran yang berlaku seperti sekarang akan memberi impak yang besar dan juga kesan yang sangat buruk untuk keindahan dan kecantikan sekitar tasik itu. Keadaan ini bukan sahaja melibatkan kampus UKM saja, bahkan menjadi ancaman kepada Sungai Langat yang mana terpaksa menerima air kumbahan yang telah disalurkan oleh paip pembentungan khas tangki kumbahan.

Jika keadaan ini sentiasa berterusan, ia juga akan mencemarkan dan merosakkan kualiti air di sungai tersebut di samping dapat memusnahkan hidupan yang ada di dalam sungai itu. Hal ini kerana, air kumbahan yang disalirkan itu mengandungi bahan buangan manusia, serbuk pencuci pakaian dan bahan pencuci atau bahan sampingan daripada kegiatan industri. Pada keadaan biasa, bakteria mengekalkan paras oksigen yang diperlukan untuk respirasi haiwan. Akan tetapi, jika kemasukan bahan kimia lebih tinggi dan molekul bahan cemar mugkin akan diserap oleh penhuni sungai dan diedarkan menerusi kitaran makanan kepada banyak organisma lain (Pelangi Library, 1998: 18).

Sebenarnya, dalam air sungai terdapat bakteria yang di dalamnya yang secara perlahan- lahan mereputkan bahan organik daripada hidupan dan tumbuhan yang telah mati. Bakteria ini memasuki sungai secara terus atau melalui air kumbahan tersebut. Oleh itu, bagi membolehkan proses pereputan ini, bakteria tersebut memerlukan oksigen dari air sungai itu. Bakteria ini dikenal sebagai aerob (Pelangi Library, 1998: 19).

Antara soalan yang ditanya kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangun ialah:
1. Bolehkah Encik Ghani menceritakan serba sedikit latar belakang Tasik Kejuruteraan UKM?
Jawapan: Asal kawasan Tasik Kejuruteraan adalah kawasan berpaya. Pada mulanya kawasan Kejuruteraan itu hendak dibina Dewan Gemilang, malangnya disebabkan kawasan tersebut berpaya dan memerlukan kos yang tinggi untuk melakukan penimbusan paya tersebut, pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan telah mengambil inisiatif untuk membina tasik Kejuruteraan sebagai kawasan rekreasi kepada pelajar-pelajar. Tasik Kejuruteraan dibina pada tahun 1991.

2. Apakah pandangan Encik terhadap punca pencemaran Tasik Kejuruteraan UKM?
Jawapan: Antara punca utama tercemarnya Tasik Kejuruteraan UKM yang dapat dikenalpasti ialah yang pertama, pencemaran hasil dari kerja-kerja binaan bangunan yang baru di kawasan Fakulti Kejuruteraan yang berhampiran dengan tasik tersebut. Kedua, pembuangan Domestik iaitu sampah sarap oleh pihak yang tidak bertanggungjawab iaitu pengunjung Tasik Kejuruteraan sendiri. Ketiga, sikap ketidak tanggungjawaban pihak kantin yang kedudukannya antara Tasik Kejuruteraan dengan Fakulti Kejuruteraan. Sisa-sisa makanan, sampah sarap, dan miyak dari kantin merupakan antara punca pencemaran tasik tersebut.

3. Bolehkah Encik menjelaskan dengan lebih terperinci tentang punca pencemaran tasik dari hasil pembinaan dan kantin yang berdekatan?
Jawapan: Dari pembinaan yang dijalankan menyebabkan berlakunya hakisan tanah disebabkan pokok-pokok ditebang dan tanah diratakan kerana kawasan binaan tersebut adalah kawasan berbukit iaitu terletak atas yang berhampiran dengan Tasik Kejuruteraan. Selain itu, jentera yang digunakan untuk membina turut menjadi punca pencemaran, dimana jentera yang melakukan kerja-kerja binaan tertumpah minyak lalu mengalir ke tasik pada bahagian yang berhampiran. Minyak tersebut bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekosistem tasik tersebut malahan, tanaman-tanaman yang ditanam khas untuk menambahkan tarikan pengunjung turut mengalami kesannya.
Kantin yang berdekatan dengan tasik tersebut turut menjadi punca pencemaran, ini kerana bukan sahaja minyak dari jentera malahan juga dari kantin yang berdekatan. Pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan pernah memberi surat amaran agar pihak kantin tersebut dapat bekerjasama untuk menjaga kebersihan alam sekitar di kawasan tersebut. Namun pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan melahirkan rasa kecewa, ini kerana surat amaran yang dihanatr tidak memberi apa-apa kesan pada kantin tersebut. Bukan itu sahaja sisa-sisa makanan yang dibuang di merata-rata turut berpunca dari kantin tersebut.

4. Adakah sebelum pembinan ini Tasik Kejuruteraan telah mengalami pencemaran?
Jawapan: Sebelum adanya kerja-kerja binaan dilakukan pencemaran tidak berlaku di Tasik Kejuruteraan.

5. Pihak Encik menyatakan bahawa sebelum berlakunya kerja-kerja binaan tidak berlaku pencemaran tapi, kenyataannya ada aduan yang mengatakan ada bau yang tidak menyenangkan disekitar tasik tersebut. Jadi apa pandangan Encik tentang perkara tersebut?
Jawapan: Pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan akui akan perkara tersebut. Bau yang tidak menyenangkan itu adalah berpunca dari kumbahan yang berdekatan dengan tasik. Kumbahan yang berdekatan tasik tersebut disaring terlebih dahulu sebelum lebihan air yang disaring dilepaskan ke Tasik Kejut yang kemudian terus mengalir menuju ke Sungai Langat. Lebihan air tersebut tidak menghilangkan bau dan bau yang tidak mneyenangkan tersebut adalah kebihan air kumbahan yang disaring.
6. Apakah ada usaha dari Pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan untuk mengindahkan kembali tasik yang merupakan kawasan rekreasi?
Jawapan: Encik Ghani menyatakan bahawa usaha untuk memulihara semula tasik ke arah yang lebih baik memang ada dilakukan. Antaranya usaha tersebut ialah mewujudkan perangkap selut yang mana ianya digunakan untuk menyekat selut. Dengan adanya perangkap selut tersebut, ia telah memudahkan proses menggali tanah yang tertimbus disebabkan oleh hakisan tanah.

5.0 KESIMPULAN KAJIAN.
Setelah meneliti beberapa jurnal dan artikel hasil kajian yang lepas dan juga kajian yang telah kami jalankan, kami dapati kualiti air di Tasik Kejuruteraan yang terletak berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan itu didapati tercemar. Ini bertepatan dan bersesuaian dengan tujuan ataupun objektif utama kenapa kami lakukan kajian terhadap tasik tersebut. Antara tujuan ataupun objektif utama kajian ini ialah untuk mengenalpasti punca- punca pencemaran air di tasik tersebut dan mengukur tahap kualiti air tasik itu.

(maaf..lmpiran gmbr xdpt dltakkn buat smntra wktu..mslh teknikal)

3 comments:

  1. Saya mohon amek sikit maklumat dari awak punya projek ini ya. kebetulan same. terima kasih. :D

    ReplyDelete
  2. maklumat bermanfaat untuk saya pelajar fresh year enironmental sience.thanks kak amalin(:

    ReplyDelete
  3. maklumat bermanfaat untuk saya pelajar fresh year enironmental sience.thanks kak amalin(:

    ReplyDelete